KENINGAU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Isuzu D-Max dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Bulatan JKR Keningau, lewat malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, ketiga-tiga mangsa dilaporkan tersepit di dalam Proton Saga sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Isuzu D-Max yang bertembung dengan Proton Saga. Terdapat tiga mangsa lelaki tersepit di dalam Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 10 anggota dari BBP Keningau dikerahkan ke lokasi bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 21 tahun berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
“Seorang mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba, manakala dua lagi mangsa dibawa oleh ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian.
Identiti mangsa yang terlibat ialah seorang lelaki berusia 20 tahun, seorang lelaki berusia 21 tahun serta Rayner Laumin @ Rosiman, 20 tahun, dan kesemuanya dilaporkan mengalami kecederaan.

