KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU-17) lalu, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, dalam usaha meredakan suhu politik di negeri ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pemilihan Mohd Ismail sebagai calon dibuat menerusi pendekatan calon perpaduan, selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan demi pentadbiran dan pembangunan jangka panjang Sabah.
“Berdasarkan pertimbangan tersebut, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) BN,” katanya ketika berucap pada majlis bersama media di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Selasa.
Jafry yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pencalonan itu merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama lebih menyeluruh, merapatkan jurang perbezaan politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.
Beliau turut mengakui langkah berkenaan bertujuan meredakan ketegangan politik selepas melalui tempoh persaingan yang sengit.
“Kita baru selesai melalui proses politik yang amat sengit sehingga menimbulkan banyak permusuhan. Jadi kita ambil jalan tengah supaya rakyat dapat melihat usaha untuk membantu dan memastikan kawasan DUN Lamag tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Menurutnya, pemilihan Mohd Ismail yang merupakan calon muda juga mengambil kira komposisi pengundi muda yang besar di DUN Lamag, selain sebagai usaha menyediakan pelapis kepimpinan untuk masa hadapan.
Dalam pada itu, Jafry menegaskan pemilihan calon berkenaan mencerminkan autonomi UMNO Sabah yang terus dilaksanakan, hasil perbincangan dan persefahaman bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Keputusan ini dibuat selepas kita berbincang dan memberi pandangan, dan rasionalnya telah diterima,” katanya.
Sebelum ini, BN turut mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, 31, sebagai calon bagi Parlimen Kinabatangan. Mohd Naim merupakan anak kepada penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.
PRK bagi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari 2026.
Sumber: Sinar Harian

