Site icon TUHAU BAMBANGAN

Madius Tangau Dilantik Pengerusi Baharu POIC, Perkukuh Agenda Sabah First

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau, dilantik sebagai Pengerusi baharu Palm Oil Industrial Cluster (POIC).

Watikah pelantikan Ahli Parlimen Tuaran yang juga bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah itu diserahkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, pada Isnin.

Pada majlis sama, bekas Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Datuk Janathan Kandok, turut menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi POIC.

Majlis penyerahan watikah yang berlangsung di Wisma Kewangan itu turut menyaksikan Ewon, yang juga Menteri Perindustrian, Kewangan dan Pengangkutan, menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi baharu Invest Sabah, iaitu ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin.

Dalam ucapannya, Ewon berkata pelantikan ketiga-tiga tokoh berpengalaman itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan agenda pelaburan, perindustrian dan logistik Sabah terus dipacu secara teratur, inklusif serta berimpak tinggi.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan agenda Sabah First dalam kementeriannya dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang mesra pelabur serta usahawan.

“Pelantikan ini selaras dengan pendekatan Sabah First, di mana kepentingan dan manfaat kepada rakyat serta ekonomi Sabah sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya percaya dengan pengalaman luas dan kepakaran mereka, POIC Sabah dan Invest Sabah akan terus memainkan peranan strategik dalam menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan daya saing negeri,” katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga individu yang dilantik merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komitmen.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) POIC Sabah, Datuk Gredian Gan; serta CEO Invest Sabah, Dr Firdausi Suffian.

Exit mobile version