Site icon TUHAU BAMBANGAN

Remaja lelaki disambar buaya ketika menjala udang di tepi sungai

DARO, SARAWAK: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika sedang menjala udang di Sungai Batang Paloh berhampiran Jeti Sungai Kelai, Rumah Panjang Jingga, Pulau Bruit, di sini, petang Jumaat.

Mangsa, Augustine Fernando anak Nyalong, dikatakan diserang seekor buaya yang tiba-tiba muncul dari dalam air sebelum menyambar dan menariknya ke dasar sungai pada kira-kira jam 5.45 petang, 26 Disember lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ketika kejadian mangsa bersama empat rakan lain sedang melakukan aktiviti menjala udang di tepi sungai berkenaan.

Rakan-rakan mangsa cuba membantu namun gagal sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk rumah panjang berhampiran.

Susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 6.10 petang, selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 36 kilometer.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari pada Sabtu bermula jam 6.30 pagi, melibatkan pencarian sejauh tiga kilometer di sepanjang pesisir Sungai Paloh.

Taklimat operasi diketuai oleh ASP Miki Mohan Singh Ramday dari IPD Matu Daro, sebelum operasi SAR dimulakan secara rasmi pada jam 9.09 pagi.

Operasi SAR dijalankan secara bersepadu membabitkan pelbagai agensi termasuk JBPM Daro, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Forestry Corporation, Lembaga Sungai Sarawak, Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pejabat Daerah Daro, pusat khidmat kawasan serta penduduk kampung.

Operasi diketuai oleh PBK II Huzainizam Najar dengan bantuan sebuah kenderaan pacuan empat roda.Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan dengan mengambil kira faktor keselamatan berikutan ancaman buaya di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang aktiviti di sungai yang dikenal pasti sebagai habitat buaya, khususnya di kawasan pedalaman dan pesisir Sarawak.

Exit mobile version