KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri sebelum melanggar pokok dan terjatuh ke dalam longkang dalam kemalangan jalan raya di Bulatan Kopungit, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.41 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.41 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Norejan Jamlin @ Azlan berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar pokok dan masuk ke dalam longkang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan siasatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.04 petang selepas pasukan bomba menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.Identiti mangsa setakat ini belum dikenal pasti.

