KOTA KINABALU: Negara kehilangan seorang wira senyap dunia pendakian apabila Abbie Intang, atau lebih dikenali sebagai Badang Kinabalu, meninggal dunia pada jam 4.39 pagi hari ini di usia 68 tahun.
Allahyarham bukan tokoh politik atau selebriti, namun jasanya terpahat kukuh dalam sejarah Gunung Kinabalu sebagai antara porter legenda yang menjadi tulang belakang operasi logistik gunung tertinggi di Malaysia itu.
Berasal dari Kampung Pinosuk, Kundasang, Abbie terkenal dengan kekuatan fizikal dan ketabahan luar biasa apabila setiap hari mendaki dari Timpohon Gate ke Laban Rata sejauh kira-kira enam kilometer sambil memikul tong air dan peralatan logistik seberat sekitar 50 kilogram, mengambil masa hampir enam jam bagi satu perjalanan.
Gambar ikonik beliau yang pernah tular dirakam sekitar tahun 2005 ketika Allahyarham berusia 48 tahun, memperlihatkan beliau memikul tong air besar ke Laban Rata, satu pemandangan yang menjadi simbol pengorbanan dan keringat porter tempatan demi keselesaan dan keselamatan para pendaki.
Selain tong air, Allahyarham turut dikenali kerana pernah memikul tong gas dan peralatan berat lain melalui laluan sama, dengan beban paling berat direkodkan mencecah sekitar 80 kilogram, satu pencapaian luar biasa yang jarang mampu dilakukan.
Gelaran Badang Kinabalu diberikan kepada Abbie sebagai penghormatan terhadap kekuatan, disiplin dan dedikasi beliau yang bekerja tanpa mengharapkan perhatian, namun jasanya dinikmati oleh ribuan pendaki dari dalam dan luar negara.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, penduduk setempat serta komuniti pendakian, yang menganggap beliau sebagai simbol ketabahan anak Sabah.
Walaupun jasadnya telah pergi, legasi Abbie Intang akan terus hidup dalam setiap langkah pendaki yang menjejak laluan ke Laban Rata dan puncak Gunung Kinabalu.

