Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mahkamah Tinggi: Najib Bukan ‘Orang Kampung’, Tidak Mudah Dikelirukan Dalam Skandal 1MDB

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menolak hujahan pembelaan bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak, bahawa beliau telah disesatkan oleh pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan menyifatkan alasan itu sebagai tidak berasas.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Najib bukanlah “orang kampung” yang mudah dikelirukan, sebaliknya memegang jawatan tertinggi negara ketika kejadian, iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Mahkamah mendapati hujahan bahawa tertuduh telah disesatkan adalah tidak bermaruah,” katanya ketika membacakan dapatan keputusan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB di Istana Kehakiman di sini.

Menurut hakim, mahkamah juga tidak menerima alasan bahawa bekas Presiden UMNO itu hanya memberi tumpuan kepada pentadbiran negara. Sebaliknya, keterangan menunjukkan tertuduh terlibat secara langsung dalam urusan berkaitan 1MDB, termasuk mengarahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, menemani bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ke Abu Dhabi dan China bagi urusan syarikat.

Mahkamah turut mendapati Najib berada dalam keadaan sedar ketika menolak nasihat pihak pengurusan 1MDB, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berhubung penglibatan Jho Low.

Selain itu, terdapat keterangan bahawa Najib meminta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, supaya tidak bimbang selepas beliau membangkitkan kemusykilan mengenai 1MDB.

Sehubungan itu, mahkamah menyimpulkan bahawa Jho Low bertindak sebagai proksi dan ejen kepada Najib, disokong dengan bukti termasuk gambar percutian mereka sebelum ini. Mahkamah juga menolak dakwaan pembelaan bahawa keterangan saksi pendakwaan bersifat dengar cakap, kerana penjelasan saksi disokong oleh bukti.

Selepas hampir tiga jam membaca dapatan keputusan melibatkan 25 pertuduhan penyelewengan dana 1MDB, prosiding ditangguhkan pada jam 12.15 tengah hari bagi memberi laluan kepada solat Jumaat. Prosiding dijadual bersambung pada jam 3 petang, dengan baki keputusan dijangka mengambil masa kira-kira satu jam untuk dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pasukan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Najib diwakili pasukan pembelaan termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama antara 2011 hingga 2014.

Pertuduhan menggunakan kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, 21 pertuduhan pengubahan wang haram didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Exit mobile version