Site icon TUHAU BAMBANGAN

Op Samseng Jalanan: 2 PATI ditahan di Lahad Datu, tunggang motosikal tanpa lesen

LAHAD DATU: Dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan manakala empat buah motosikal disita dalam Op Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, lewat malam tadi.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan sekitar Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centrel serta Jalan Lahad Datu–Sandakan/Tawau, melibatkan kerjasama Cawangan Khas (CK), BPJKK, BSJND, BSJD dan balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu.

Ketua BSPT IPD Lahad Datu, Inspektor Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa yang mengetuai operasi, berkata dua lelaki bukan warganegara ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta menunggang motosikal tanpa lesen.

Menurutnya, dalam operasi sama, empat motosikal ditahan dan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain 13 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“BSPT IPD Lahad Datu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, termasuk kegiatan samseng jalanan. Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membendung penularan aktiviti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Datuk Dzulbaharin Ismail, menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255 bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Exit mobile version