KOTA KINABALU: Kekurangan bekalan telur ayam di pasaran tidak hanya mendatangkan masalah kepada para pembeli, malah golongan peniaga turut terkesan dengan situasi ini.
Isu berkenaan turut menyebabkan peniaga terpaksa bertindak menghadkan pembelian telur ayam untuk setiap pembeli.
Keadaan juga mengakibatkan pembeli terpaksa membeli telur dengan harga sedikit mahal atau terpaksa dapatkan bekalan telur ayam di premis berasingan.
Bagi pemilik premis Jetsin Sdn Bhd Koh Chung Jade, hanya 100 papan bekalan telur ayam gred B dan C diperoleh sehari.
Pihaknya juga terpaksa menghadkan pembelian satu papan telur ayam sahaja untuk seorang pelanggan.
Katanya, bekalan telur ayam yang diterima terlalu sedikit untuk menampung permintaan pelanggan setiap hari.
“Sebelum ini, kami biasa membuat tempahan sekitar 200 hingga 300 papan setiap hari, tetapi sekarang, kalau pembekal dapat sediakan 100 papan sehari pun dikira bernasib baik kerana bekalan memang sangat terhad,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, tindakan menghadkan pembelian telur untuk pelanggan dibuat bagi memastikan semua pelanggan dapat membeli telur ayam.
Salah seorang pelanggan di premis itu, Suhana Jamal, 22, berkata, kekurangan bekalan telur ayam menyebabkannya terpaksa pergi ke beberapa kedai atau pasar raya berasingan semata-mata untuk mendapatkan bekalan telur ayam yang mencukupi untuk keperluan memasak.
Beliau yang bekerja di sebuah kantin di sini turut kecewa kerana setiap pelanggan dihadkan untuk membeli telur ayam.
“Banyak kedai atau pasar raya sekarang hanya benarkan pelanggan membeli satu papan telur sahaja dalam satu masa, sedangkan saya pula memerlukan telur ayam sekurang-kurangnya lima papan sehari.
“Ada masanya saya memerlukan bekalan jumlah telur sehingga dua kali ganda apabila ada tempahan katering.
“Saya juga terpaksa datang awal sekitar jam 8 pagi untuk berbelanja kerana bekalan telur pasti akan habis dengan cepat,” katanya.
Seorang lagi pelanggan Magdelina Joseph, 43, berkata, biarpun hanya membeli telur ayam untuk kegunaan sendiri di rumah namun, tetap terasa dengan kenaikan harga telur di pasaran ketika ini.
Menurutnya, telur ayam boleh dikatakan keperluan wajib yang mesti ada di rumah.
“Saya sendiri pasti akan membeli satu papan telur ayam setiap minggu atau hampir dua minggu sekali kerana anak-anak suka makan pelbagai menu berasaskan telur.
“Saya perasan harga telur ayam ini semakin mahal sejak awal tahun ini. Ia bukan sahaja mahal tetapi ada masanya sentiasa kehabisan bekalan.
“Contohnya, telur ayam gred B sebelum ini kebiasaannya berharga sekitar RM10 namun sekarang ia boleh mencecah sehingga RM14,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan harga itu tentunya memberi kesan kepada pengguna terutama peniaga makanan atau restoran.
Sumber: UB