PUTATAN: Sebanyak sembilan buah rumah atas air di Kampung Pasir Putih, di sini, musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku awal petang tadi, namun kejadian tragis itu dilaporkan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.35 petang melalui talian balai dan NG999 sebelum jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, kebakaran melibatkan kawasan rumah atas air jenis tidak kekal dengan keluasan anggaran 20 x 60 meter persegi.
“Daripada sembilan buah rumah yang terjejas, lapan daripadanya musnah terbakar sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan lima aliran sepanjang 800 kaki dengan tujuh pancutan air, membabitkan sumber air daripada jentera bomba, water tanker serta pili bomba berhampiran.
Operasi pemadaman yang melibatkan seramai 38 anggota daripada BBP Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu, dengan sokongan Unit Komunikasi, berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.33 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.51 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Turut terlibat membantu di lokasi kejadian ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity, Majlis Daerah Putatan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tiada bahaya susulan di lokasi sebelum operasi ditamatkan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan.

