KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, kekal menjalani baki hukuman penjara selama tiga tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan dakwaan titah adendum membabitkan tahanan rumah.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Alice Loke Yee Ching yang berpuas hati bahawa isu penahanan di rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Bagaimanapun, Najib, 72, masih menunggu keputusan satu lagi kes berprofil tinggi melibatkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadual diumumkan oleh sebuah lagi Mahkamah Tinggi pada Jumaat ini.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, namun hukuman tersebut dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta selepas beliau menerima pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Bekas Presiden UMNO itu kemudiannya memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam permohonan itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Sumber: Malaysia Gazette

