TAWAU Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki mengugut seorang warga emas menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Rawa-Rawa Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 70-an didatangi beberapa lelaki ketika berada di rumahnya, dengan salah seorang suspek bertindak agresif sambil memegang parang dan mengeluarkan kata-kata ugutan. Bimbang akan keselamatannya, mangsa tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, susulan aduan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau melancarkan operasi dan berjaya menahan seorang suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 34 tahun di kawasan lot kedai Jalan Dunlop.
“Hasil pandu arah suspek, polis turut menemui sebilah parang panjang berukuran kira-kira 40 sentimeter di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rawa-Rawa Batu 4, yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, polis kini sedang mengesan beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

