Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis tahan lelaki warga asing kerja ‘security’, disyaki pukul isteri di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah ladang di Bukit Quoin ditahan polis selepas disyaki memukul isterinya dalam satu kejadian keganasan rumah tangga, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, mangsa seorang suri rumah berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan di bahagian lengan dan kaki akibat dipukul suspek yang juga suaminya, dipercayai berpunca daripada pergaduhan serta salah faham.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa tampil membuat laporan polis sejurus kejadian, sebelum sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan, polis berjaya menahan suspek seorang lelaki berusia kira-kira 45 tahun bagi membantu siasatan kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut beliau, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Exit mobile version