TAWAU: Kebahagiaan seorang pengantin baru berakhir tragedi apabila lelaki berusia 32 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terlanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang dibiar di laluan utama tanpa sebarang amaran di Jalan Apas, Balung, awal pagi Jumaat (19 Dis).
Mangsa, yang baru mendirikan rumah tangga pada Oktober lalu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan maut berkenaan pada jam 6.05 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan sebuah lori rigid jenis Nissan yang membawa muatan baja dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.
Jasmin berkata, lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dan mengalami kerosakan mekanikal serius pada 17 Disember lalu kira-kira jam 10.30 malam ketika dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menuju ke Beluran.
“Akibat kerosakan itu, enjin lori mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula sebelum berhenti di laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas. Lori tersebut dilaporkan tidak dialihkan dari laluan utama selama hampir dua hari,” katanya.
Beliau berkata, kawasan kejadian tidak mempunyai lampu jalan selain tiada papan tanda amaran atau peranti keselamatan diletakkan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain.
Katanya, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 15, Jalan Apas ke tempat kerja di sebuah kilang sebelum melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan dan tercampak ke lorong kanan jalan.
Pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

