Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kejayaan Gerald Terima anugerah kepimpinan ASEAN wajar dicontohi – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak jati Sabah, Gerald Wong, yang dipilih sebagai penerima The 7th ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat serantau.

Beliau berkata, kejayaan Gerald yang juga pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou dari Telupid itu membuktikan keupayaan anak Sabah untuk bersaing dan memimpin inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat ASEAN.

“Saya merakamkan tahniah atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Kejayaan saudara Gerald wajar dijadikan contoh, khususnya kepada golongan belia Sabah, bahawa usaha gigih, inovasi dan komitmen dalam membangunkan masyarakat mampu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan Gerald di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Gerald merupakan antara 20 penerima anugerah daripada 10 negara ASEAN, sekali gus meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh-tokoh pembangunan luar bandar serantau yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam usaha pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti.

Mengulas pengiktirafan itu, Gerald berkata anugerah berkenaan adalah hasil usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif pertanian moden yang dilaksanakan.

“Melalui Farm Tokou, kami memperkenalkan pendekatan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik dan sistem pertanian berteknologi, disokong latihan kemahiran serta pembangunan ekonomi komuniti bagi membantu menjana pendapatan sampingan secara mampan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Farm Tokou telah beroperasi di Telupid dan Penampang serta membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah sejak 2023, termasuk Telupid, Penampang, Sook, Ranau, Kudat dan Papar.

Menurut Gerald, kejayaan yang diraih bukan milik individu semata-mata, sebaliknya kejayaan bersama komuniti luar bandar yang komited menerima perubahan dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Anugerah ini adalah milik semua komuniti yang percaya bahawa pertanian moden mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.

Exit mobile version