Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jawatan bukan untuk kepentingan peribadi – Hajiji arah Setiausaha Politik turun ke akar umbi

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan 18 Setiausaha Politik yang baharu dilantik supaya tidak menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya memainkan peranan berkesan menyalurkan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, Setiausaha Politik merupakan penghubung penting antara kerajaan dan rakyat serta perlu membantu menteri masing-masing memastikan pelaksanaan dasar, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang akan bermula tahun hadapan, difahami oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya mahu setiausaha politik melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengkhianati kepercayaan yang diberikan,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah 18 Setiausaha Politik di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, pengalaman semasa Pilihan Raya Negeri lalu menunjukkan masih ramai rakyat tidak mengetahui pelbagai bantuan dan inisiatif yang telah disediakan kerajaan, walaupun ia diumumkan melalui pelbagai platform media.

Menurutnya, antara contoh ketara ialah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Negeri serta penganugerahan biasiswa kepada 39 pemegang sijil berkenaan yang masih kurang diketahui oleh sebahagian masyarakat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion bagi sektor pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk pemberian komputer riba percuma, bayaran yuran pendaftaran kemasukan universiti secara sekali bayar, subsidi perjalanan pelajar universiti, bantuan kepada calon SPM serta pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Semua ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Oleh itu, adalah penting untuk setiausaha politik memastikan maklumat tepat sampai kepada rakyat supaya tidak timbul tuduhan bahawa kerajaan hanya menabur janji kosong,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang untuk mendapatkan peruntukan pengurusan pejabat, tertakluk kepada budi bicara Menteri Kewangan.

Beliau menegaskan, semua setiausaha politik perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengamalkan pendekatan berdisiplin serta berintegriti demi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk kesejahteraan rakyat.

Exit mobile version