KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan kestabilan politik merupakan asas utama kepada pembangunan negeri, keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata, prinsip itu menjadi teras kepada pendekatan UMNO Sabah dalam landskap politik semasa, khususnya sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah.
Menurutnya, selaras dengan komitmen tersebut, kepimpinan baharu UMNO Sabah pada Khamis telah mengadakan perjumpaan rasmi dan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi memperkukuh hubungan kerja serta kerjasama politik.
“Kunjungan ini merupakan pertemuan rasmi pertama kepimpinan baharu UMNO Sabah dengan Ketua Menteri dan mencerminkan komitmen UMNO untuk terus memainkan peranan yang bertanggungjawab dan konstruktif dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Delegasi UMNO Sabah diketuai Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Hasnol Ayub selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, Setiausaha UMNO Negeri Sabah, serta Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Jafry berkata, pertemuan berkenaan turut membincangkan hala tuju politik Sabah, keperluan mengekalkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran negeri terus berfungsi secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Beliau menegaskan, dalam sistem politik berbilang parti seperti di Sabah, kestabilan hanya dapat dicapai melalui sikap saling menghormati, komunikasi terbuka dan kesediaan untuk bekerjasama merentasi perbezaan politik.
“Perbezaan pandangan perlu diurus secara berhemah dan berinstitusi tanpa menjejaskan keutamaan utama iaitu tadbir urus yang baik, pembangunan berterusan dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya.
Menurutnya, UMNO Sabah akan terus menyumbang secara aktif dan berprinsip dalam Kerajaan Perpaduan Negeri, dengan memastikan suara rakyat kekal menjadi asas kepada setiap keputusan dan hala tuju politik yang diambil.

