PENAMPANG: Ramalan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) akan lenyap selepas Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17) terbukti meleset apabila parti itu bukan sahaja kekal relevan, malah berjaya memenangi 50 peratus kerusi yang ditandingi, kata Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, PBS yang pernah diramalkan hanya mampu mempertahankan dua hingga tiga kerusi, kini berdiri kukuh dengan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kesemuanya dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Negeri Sabah sebagai menteri dan pembantu menteri.
“Pencapaian ini bukan kebetulan atau hadiah, sebaliknya hasil kesetiaan, kesabaran dan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan PBS yang konsisten membela Sabah dan rakyatnya,” katanya ketika berucap pada Kongres PBS Ke-40 di Dewan KDCA, di sini, baru-baru ini.
Joachim berkata, sepanjang lebih empat dekad penubuhannya, PBS telah melalui perjalanan politik yang panjang dan mencabar, termasuk sembilan Pilihan Raya Negeri, lebih 15 Pilihan Raya Umum, pertukaran kerajaan serta tekanan politik nasional yang menguji ketahanan parti.
Menurutnya, PBS juga berdepan cabaran fenomena lompat parti yang hampir menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem politik, namun parti itu kekal berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan disiplin organisasi.
Mengulas prestasi pilihan raya, beliau berkata PBS bertanding di 14 kerusi dan memenangi tujuh daripadanya, satu pencapaian yang disifatkan signifikan dan mencerminkan sokongan berterusan rakyat terhadap parti itu.
“Kepada calon yang belum berjaya, kekalahan bukan pengakhiran. Ia adalah ruang untuk menilai, memperbaiki kelemahan dan bangkit lebih kuat. Fokus kita ialah memperkukuh bahagian yang belum menang serta menyusun strategi baharu,” katanya.
Joachim menegaskan kesetiaan kepada parti mesti mengatasi kepentingan wang ringgit dan habuan sementara, sambil menolak budaya mementingkan kepentingan peribadi yang boleh melemahkan perjuangan parti.
“PBS bukan parti bermusim. Ia dibina atas prinsip, nilai dan perjuangan jangka panjang. Jangan kerana keuntungan kecil, kita menggadaikan perjuangan besar yang dibina selama puluhan tahun,” katanya.
Beliau berkata kekuatan PBS terletak pada pegangan prinsip Sabar, Setia dan Bersatu, yang menjadi asas kelangsungan parti serta memastikan PBS terus relevan, disegani dan mampu menjadi wadah perjuangan berkesan untuk generasi kini dan akan datang.

