Site icon TUHAU BAMBANGAN

148 gereja di Kadamaian terima sumbangan Krismas RM148,000

KADAMAIAN: Sebanyak 148 buah gereja di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima sumbangan Krismas berjumlah RM148,000 daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, setiap gereja menerima sumbangan RM1,000 bagi membantu persiapan sambutan Krismas serta Tahun Baharu 2026, selaras dengan komitmen berterusan beliau menyokong aktiviti dan keharmonian institusi keagamaan di kawasan itu.

Menurutnya, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu bagi membantu badan-badan keagamaan membuat persiapan menyambut perayaan utama masing-masing.

“Bagi gereja-gereja di Kadamaian, sumbangan keseluruhan yang diterima adalah RM2,000 setahun, iaitu RM1,000 untuk sambutan Paskah dan RM1,000 lagi bagi sambutan Krismas atau Tahun Baharu, yang akan disalurkan sebelum tarikh perayaan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan sama turut dilaksanakan terhadap masjid dan surau di Kadamaian yang masing-masing menerima sumbangan RM2,000 setahun bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Ewon berkata, sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya simbol penghormatan terhadap kepelbagaian agama serta usaha memupuk semangat kekitaan, kebanggaan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Kadamaian.

“Saya mahu rakyat Kadamaian memiliki rasa sense of belonging yang lebih kukuh melalui sokongan dan penghormatan terhadap acara-acara keagamaan semua komuniti, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat Kadamaian untuk terus memelihara hubungan kejiranan, memperkukuh silaturahim serta memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kerjasama dalam kehidupan berkomuniti.

“Keunikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya rakyat Sabah adalah kekuatan utama konsep Sabah First yang mesti kita pertahankan dan wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Exit mobile version