Site icon TUHAU BAMBANGAN

GLC negeri gagal tunjuk prestasi lima tahun berturut-turut berdepan penutupan – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang gagal menunjukkan prestasi, khususnya tidak mencatat keuntungan selama lima tahun berturut-turut, akan dikaji semula dan berdepan kemungkinan diarahkan tutup, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, mana-mana GLC yang gagal mencatat keuntungan dalam tempoh berkenaan akan dinilai oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS).

“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC terbabit tidak menunjukkan sebarang prospek untuk pulih,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen dan sumbangan GLC serta badan berkanun di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, semua badan berkanun dan GLC diwajibkan mematuhi kadar pembayaran dividen minimum sedia ada iaitu 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai, selaras dengan ketetapan yang telah lama digariskan kerajaan negeri.

“Saya menjangkakan semua GLC menunjukkan disiplin kewangan serta komitmen penuh dalam memenuhi kewajipan ini. Selain itu, bermula tahun hadapan, tahap sumbangan tahunan GLC juga perlu ditingkatkan antara sekitar RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada keupayaan dan prestasi syarikat,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan melaksanakan rombakan terhadap pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan kebertanggungjawaban serta menyuntik kepimpinan baharu.

“Kerajaan Negeri menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu dilaksanakan bagi memastikan transformasi yang berkesan dan mampan,” katanya.

Hajiji berkata, langkah itu selari dengan matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang cekap, dipercayai dan berupaya menjana pendapatan serta nilai lebih tinggi kepada negeri dan rakyat.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bermula tahun hadapan, semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis suku tahunan terus kepada beliau.

“Laporan ini mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi. Mana-mana pihak yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukan mereka, termasuk kemungkinan diganti atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas prestasi semasa, Hajiji berkata jumlah dividen dan sumbangan GLC kepada Kerajaan Negeri setakat ini adalah RM125.3 juta, berbanding paras tertinggi RM156.31 juta yang direkodkan pada 2022, sekali gus menunjukkan prestasi keseluruhan masih berada pada tahap sederhana.

“Walaupun sumbangan ini masih positif, potensi sebenar agensi milik kerajaan adalah jauh lebih besar daripada apa yang dicapai setakat ini,” katanya.

Beliau menegaskan keperluan standard integriti kewangan yang tinggi, pelaksanaan telus serta kebertanggungjawaban, di samping kepimpinan yang dinamik, profesional dan berorientasikan hasil bagi menghadapi cabaran baharu termasuk pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu dan pembangunan sosial.

Hajiji berkata Sabah juga perlu meneroka bidang strategik baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan teknologi data selari dengan trend pertumbuhan global.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menerima replika cek dividen dan sumbangan daripada pelbagai GLC dan badan berkanun negeri berjumlah RM131.6 juta, dengan SMJ Energy Sdn Bhd muncul sebagai penyumbang terbesar menerusi bayaran dividen RM50 juta serta sumbangan RM1 juta kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.

Exit mobile version