KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan menerima satu laporan berhubung penemuan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang dipercayai terjatuh dari Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada 18 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda, berkata maklumat awal mengenai kejadian itu diterima kira-kira jam 10.10 pagi sebelum sepasukan polis bersama pegawai penyiasat dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor UMS oleh dua orang pekerja penyelenggaraan yang sedang menjalankan tugas di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 11.10 pagi.
“Pemeriksaan luaran ke atas mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh,” katanya.
ACP Kasim berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Beliau memaklumkan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Dewan Canselor UMS mendapati mangsa dilihat terjatuh pada 17 Disember 2025 kira-kira jam 6.09 petang, dan setakat ini tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat. Kes ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR),” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan kes.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

