KOTA KINABALU: Cadangan kerajaan untuk meningkatkan had minimum gaji pada ketika ini adalah tidak bersesuaian.
Presiden Persatuan Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah Foo Ngee Kee berkata, pihaknya berpandangan berbanding cadangan meningkatkan kadar gaji minimum dari RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, adalah lebih baik cadangan berkenaan dikaitkan dengan produktiviti setiap pekerja.
“Sebarang pelaksanaan cadangan berkenaan hanya boleh dilakukan selepas berbincang dengan sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan perdagangan pada ketika suasana perniagaan yang membenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap cadangan Kementerian Sumber Manusia yang mahu melaksanakan peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan menjelang akhir tahun 2022.
Foo berkata, kini banyak syarikat pengeluaran, hotel telah menggunakan pendekatan dalam bentuk insentif diberikan kepada para kakitangan masing-masing berdasarkan pencapaian prestasi kerja.
Katanya, usaha itu mewujudkan situasi menang-menang diantara pekerja dan majikan dimana insentif diberikan berdasarkan prestasi kerja kakitangan.
“Pendekatan yang diguna pakai kini sudah pasti akan meningkatkan pendapatan bulanan pekerja (termasuk mereka yang berpendapatan kurang dan lebih RM1,500).
“Usaha ini juga akan meningkatkan produktiviti syarikat seterusnya menyumbang ke arah Keluaran Dalam Negeri dan Negara Kasar,” katanya.
Beliau berkata, syarikat pengeluaran sudah lama mengguna pakai pendekatan pemberian bonus berdasarkan prestasi, sebagai insentif kepada pekerja cemerlang.
Katanya, kadar jualan tinggi sesebuah syarikat sangat bergantung kepada kecemerlangan seseorang pekerja melaksanakan tanggungjawabnya khususnya dalam sektor perhotelan.
“Sektor ini juga mengguna pakai sistem perkhidmatan merit yang mana akan memberikan insentif berdasarkan pendapatan jualan setiap musim.
“Sekiranya jualan adalah rendah, maka pemberian insentif berkenaan adalah berdasarkan jualan musim berkenaan.
“Situasi ini membolehkan majikan dan kakitangan bekerja ke arah objektif yang sama iaitu memperkasakan pendapatan syarikat demi manfaat bersama.
“Majikan juga tidak dibebani dengan pembayaran gaji tinggi ketika musim jualan yang rendah,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya juga bersetuju dengan pandangan pertubuhan yang lain bahawa cadangan meningkatkan gaji minimum kini bukan tepat pada masanya.
Katanya, banyak syarikat sedang berusaha untuk menjana semula pendapatan selepas terjejas teruk selama dua tahun disebabkan Pandemik COVID-19.
“Sekiranya cadangan ini tetap diteruskan pada penghujung tahun 2022, tidak dinafikan banyak syarikat PKS akan gulung tikar.
“Ini sekali gus menyumbang kepada kadar pengangguran yang lebih tinggi berbanding sedia ada. Usaha ini juga dilihat akan melambatkan proses pemulihan ekonomi oleh kerajaan,” katanya.
Sumber: UB