KOTA KINABALU: Sambutan Krismas Sabah 2025 bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyatukan rakyat negeri ini dalam semangat muhibah, saling menghormati dan kebersamaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, sambutan peringkat negeri itu mencerminkan kematangan sosial serta keharmonian rakyat Sabah, sekali gus membuktikan kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang bukan pemisah, malah menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat sebagai satu keluarga besar.
Menurutnya, tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai dalam Kasih” (Hope for Peace in Love), amat bertepatan kerana mengajak seluruh rakyat kembali kepada nilai asas kemanusiaan seperti kedamaian, kasih sayang, harapan dan tanggungjawab bersama.
“Harapan adalah keyakinan bahawa melalui kasih sayang, kehidupan yang lebih aman, makmur dan bermakna dapat dibina. Kedamaian sejati pula dizahirkan melalui sikap saling menghormati dan diperkukuhkan dengan perbuatan ihsan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Sabah Christmas Celebration 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tusin.
Hajiji berkata, selaras aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sambutan Krismas peringkat negeri turut menjadi wadah memperkukuh perpaduan sosial dan kesejahteraan rakyat, di samping menegaskan bahawa pembangunan tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi juga keharmonian hubungan sesama insan.
Beliau berharap nilai murni yang diterapkan menerusi sambutan itu akan terus menjadi inspirasi kepada rakyat Sabah untuk mengekalkan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negeri, sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua yang meraikannya.

