Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah kaji bina sistem kereta api Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang merangka kajian kemungkinan dan reka bentuk awal pembinaan sistem kereta api yang menghubungkan Putatan ke Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar bagi memperkukuh jaringan pengangkutan rel serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata projek itu adalah antara inisiatif utama Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Beliau berkata, kajian dan reka bentuk awal berkenaan disenaraikan sebagai sebahagian daripada lapan projek sambungan JKNS yang disasarkan siap pada tahun kedua pelaksanaan RMKe-13.

“Selain projek Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar, JKNS turut melaksanakan kerja pembaikan cerun dan tebing di sepanjang jajaran Beaufort–Tenom, perolehan dua unit Diesel Multiple Unit (DMU) non-powered cars serta sebuah lokomotif bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, hari ini.

Menurut Ewon, sepanjang tempoh RMKe-13 dari 2026 hingga 2030, JKNS merancang melaksanakan 47 projek merangkumi lapan projek sambungan dan 39 projek baharu, termasuk kajian kebolehlaksanaan sistem pengangkutan awam berasaskan rel di Bandaraya Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya serta projek penaiktarafan aset sedia ada.

Bagi memastikan perkhidmatan kereta api di Sabah kekal relevan dan berdaya saing, katanya, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM18.19 juta kepada JKNS, manakala RM4.75 juta lagi diperuntukkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi memperkukuh infrastruktur pelabuhan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Exit mobile version