KOTA KINABALU: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di Pantai Barat dan Pedalaman Sabah hingga 7 malam ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 3.30 petang hari ini, MetMalaysia memaklumkan kawasan terjejas di Pantai Barat meliputi Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu, manakala di kawasan Pedalaman melibatkan beberapa daerah terlibat.
Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Tawau serta Sandakan membabitkan Tongod dan Kinabatangan.
MetMalaysia menjelaskan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca buruk serta memantau maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

