Site icon TUHAU BAMBANGAN

LPPB diberi peruntukan bangunkan 9 pekan baharu termasuk Tongod & Beluran

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) diberi peruntukan untuk membangunkan sembilan pekan baharu di seluruh Sabah, termasuk di Tongod dan Beluran, sebagai sebahagian usaha memperkasa pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, selain Tongod dan Beluran, projek itu turut merangkumi Pekan Baharu Paginatan, Merotai, Sungai Melayu (Sebatik), Sukau, Melalap, Ulu Dusun dan Penangah.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, hari ini.

Seiring Belanjawan 2026, katanya, kementerian turut memberi keutamaan kepada penyediaan perumahan awam kos rendah dan rumah mampu milik (RMM) di bawah LPPB.

Antara projek diteruskan ialah Pembangunan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Fasa 1 di Sukau (50 unit rumah berkembar), Melalap (50 unit rumah teres), Beluran (20 unit rumah teres) dan Pitas (50 unit rumah teres).

Bagi RMM, beliau berkata dua projek sedang dalam pembinaan membabitkan 243 unit apartmen di Kepayan Ridge, Kota Kinabalu serta 241 unit rumah teres di Kimanis, Papar.

Selain itu, empat lagi projek RMM dirancang membabitkan 78 unit apartmen di Jalan Sepanggar, 200 unit apartmen di Kepayan, 86 unit apartmen di Tanjung Aru, Kota Kinabalu serta 1,200 unit rumah berkembar di Beringgis, Papar.

Sementara itu, beliau berkata perancangan bandar yang tersusun menjadi asas pembangunan mampan dan berdaya tahan, justeru Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) akan melaksanakan beberapa inisiatif utama.

Antaranya Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Sabah di bawah RMK-13, Kajian Semula Rancangan Daerah di enam daerah iaitu Sandakan, Semporna, Kota Belud, Kunak, Kudat dan Tuaran, pembangunan Sistem Sabah Digital Planning Hub serta penyediaan Pelan Induk Bandar Pintar Sabah.

Exit mobile version