Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemuda PBS tuntut pemerkasaan belia, pengiktirafan kesetiaan ahli

PENAMPANG: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) mengemukakan beberapa tuntutan utama termasuk pemerkasaan peranan belia dan pengiktirafan terhadap kesetiaan ahli parti dalam Persidangan Perwakilan Pemuda PBS Kali Ke-40 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, hari ini.

Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut, berkata antara usul utama ialah rayuan agar Kerajaan Negeri meneruskan serta menambah baik insentif perjalanan RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian ke Semenanjung Malaysia susulan peningkatan kos tambang penerbangan.

Beliau turut menuntut agar kepimpinan Pemuda diberi ruang lebih luas mengisi jawatan lantikan politik dan kerajaan termasuk Setiausaha Politik, Pegawai Khas, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta Mahkamah Anak Negeri.

Christoper juga menegaskan keperluan memberi pengiktirafan dan jawatan kepada ahli parti yang setia dan berdisiplin, termasuk penganugerahan pingat sebagai penghargaan terhadap komitmen jangka panjang mereka.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, atas kepimpinan yang disifatkan membawa nafas baharu kepada parti, serta memuji kejayaan PBS mengekalkan tujuh kerusi DUN pada PRU negeri lalu.

“Penglibatan Pemuda dalam jawatan strategik akan memperkukuh penyampaian dasar dan melahirkan barisan pemimpin pelapis berpengalaman,” katanya.

Persidangan itu disifatkan sebagai platform penting memperkukuh peranan Pemuda sebagai tulang belakang parti dan kesinambungan kepimpinan PBS dalam menghadapi cabaran politik dan pembangunan Sabah.

Exit mobile version