KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpegang kepada prinsip untuk memberi laluan kepada parti rakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan berlangsung serentak pada 24 Januari depan.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun keputusan muktamad masih belum dibuat, pendirian awal gabungan itu adalah tidak bertanding bagi menghormati parti yang memenangi kerusi berkenaan sebelum ini.
“Prinsipnya kita akan beri laluan. Namun, keputusan akhir masih dalam perbincangan dan akan dibuat berdasarkan rundingan serta persetujuan semua pihak dalam gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa.
Menurut Hajiji, setakat ini GRS cenderung untuk tidak bertanding dan bersedia membantu parti rakan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya kecil berkenaan demi kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri.
“Kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan beri penghormatan dan laluan kepada parti yang menang, memandangkan mereka juga sebahagian daripada Kerajaan Negeri sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan beberapa perkara masih perlu dibincangkan sebelum keputusan muktamad dimuktamadkan, termasuk rundingan lanjut dengan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.
Kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berlaku susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia baru-baru ini.

