Site icon TUHAU BAMBANGAN

Budayakan belia proaktif, efektif & berani cipta peluang sendiri – Nizam

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membudayakan belia yang proaktif, efektif dan berupaya mencipta peluang sendiri sebagai teras utama pembangunan belia negeri ini, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa, dengan menegaskan belia perlu berani mengambil risiko, inovatif, kreatif serta memiliki kemahiran menyelesaikan masalah dan berkomunikasi secara berkesan.

Menurutnya, bagi tahun 2026, kementeriannya menerima peruntukan berjumlah RM88.01 juta bagi Perbekalan dan RM10.05 juta bagi Pembangunan, yang akan dimanfaatkan untuk pelbagai program pendidikan, kemahiran, kepimpinan, kesejahteraan belia, sukan serta pembangunan ekonomi kreatif.

“Selaras Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menekankan prinsip inklusiviti, kementerian akan menyediakan program padanan bagi memastikan setiap anak Sabah dan setiap segmen masyarakat mendapat akses serta peluang saksama dalam meningkatkan mobiliti sosial tanpa tercicir atau terpinggir,” katanya.

Dalam usaha membudayakan belia proaktif dan efektif, beliau berkata program di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) seperti Felo Sabah Maju Jaya, Dewan Belia Sabah, Tamu Suara Belia, Karnival Belia Sabah, kesukarelawanan dan pertukaran belia akan diperkasakan bagi memberi impak signifikan kepada pembangunan belia dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas agenda sukan, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Sabah berpotensi besar untuk muncul sebagai ‘Negeri Sukan’ khususnya dalam sukan berprestasi tinggi dan sukan orang kurang upaya, dengan persiapan rapi ke arah Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Sabah FC atas kejayaan mara ke final Piala FA 2025 serta atlet lompat jauh negara dari Sabah, Andre Anuar, yang memenangi pingat emas Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus membuktikan potensi besar atlet negeri ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, pembudayaan gaya hidup sihat melalui penglibatan masyarakat dalam sukan massa akan terus dipertingkatkan, di samping pembinaan dan penambahbaikan kemudahan sukan yang dikenal pasti dalam senarai kebolehlaksanaan tahun 2026.

Dalam pada itu, Nizam berkata, kementeriannya akan meningkatkan kebolehpasaran industri ekonomi kreatif melalui program peningkatan kemahiran yang memberi tumpuan kepada kualiti produk, teknologi, pemasaran, pengurusan kewangan dan daya saing sumber manusia merangkumi bidang seperti reka grafik, fotografi, videografi, fesyen, animasi, e-sukan dan penulisan digital.

Exit mobile version