KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki tempatan selepas dipercayai mengamuk dengan memukul, menendang kenderaan serta menghalang tugas anggota polis ketika satu operasi tangkapan dijalankan di Telipok bagi membantu siasatan kes tular melibatkan pemukulan pelajar madrasah di sini, awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian berlaku pada 15 Disember 2025 kira-kira jam 6.45 pagi ketika sepasukan anggota polis sedang menjalankan tugas menangkap seorang suspek bagi kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak.
Menurutnya, siasatan awal mendapati beberapa individu bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta memukul dan menendang kenderaan polis sehingga menjejaskan kelancaran operasi.
“Bertindak atas maklumat awam, polis menahan keempat-empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an dan merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan polis akan memohon reman bagi membantu siasatan lanjut, termasuk ujian saringan air kencing serta rakaman percakapan saksi.
Dalam perkembangan berkaitan, ACP Kasim berkata operasi tangkapan itu susulan siasatan polis terhadap satu kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang tular di media sosial, dipercayai melibatkan pelajar sebuah madrasah di sekitar Kota Kinabalu.
Kes berkenaan dilaporkan berlaku pada 14 Disember 2025 kira-kira jam 11.55 malam di sebuah premis perniagaan dan melibatkan sekumpulan pelajar madrasah serta seorang lelaki dewasa.
Susulan laporan tersebut, polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang awam dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar kawalan emosi, tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara adil dan telus.
Polis memberi jaminan bahawa semua siasatan akan dilaksanakan secara profesional, berlandaskan undang-undang serta mengutamakan keselamatan dan ketenteraman awam.

