PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 24 Januari 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah.
Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas SPR hari ini selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurutnya, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025 serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2025 berkaitan kekosongan tersebut.
SPR turut menetapkan tarikh Writ Pilihan Raya pada 16 Disember 2025, manakala Hari Penamaan Calon pada 10 Januari 2026. Hari Mengundi Awal pula ditetapkan pada 20 Januari 2026.
Tempoh berkempen bagi PRK berkenaan ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon pada 10 Januari 2026 sehingga jam 11.59 malam, 23 Januari 2026.
Bagi urusan pengundian, permohonan undi pos bagi semua kategori dibuka mulai 16 Disember 2025 secara dalam talian melalui Portal SPR. Tarikh tutup permohonan bagi Kategori 1A ialah 8 Januari 2026, manakala Kategori 1B dan 1C pada 6 Januari 2026.
Bagi mengendalikan PRK ini, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu lapan Penolong Pegawai Pengurus serta menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi ditetapkan di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, dengan seramai 1,106 petugas dilantik melibatkan 36 pusat mengundi biasa dan satu pusat mengundi awal.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan mengandungi seramai 48,722 pemilih dan dijadualkan mula dijual pada 5 Januari 2026, manakala kos keseluruhan PRK ini dianggarkan berjumlah RM10 juta.
SPR turut menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab melalui pelaksanaan kempen Jom Kita Undi, selain meneruskan siaran langsung proses pilihan raya serta membuka peluang kepada agensi dan NGO untuk menjadi pemerhati pilihan raya.

