Site icon TUHAU BAMBANGAN

Belanjawan 2026: JKR terima siling peruntukan RM2.67 bilion untuk laksana 173 projek

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menerima siling peruntukan RM2.67 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk melaksanakan 173 projek pembangunan, menjadikannya antara penerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2026.

Menteri Kewangan merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu meliputi 49 projek sambungan dan 124 projek baharu, selaras dengan komitmen kerajaan menyelesaikan isu infrastruktur asas yang masih membelenggu rakyat.

Beliau berkata, keseluruhan sektor infrastruktur dan utiliti menerima RM4.80 bilion, bersamaan 39.92 peratus daripada keseluruhan siling RMKe-13, bagi melaksanakan 318 projek merangkumi keperluan jalan raya, jambatan, cerun, bangunan kerajaan serta utiliti awam.

Bagi tahun 2026 sahaja, JKR diperuntukkan RM600.69 juta untuk pengoperasian serta pelaksanaan projek fizikal termasuk pengurusan trafik dan keselamatan jalan raya.

Peruntukan itu turut menampung kerja pembaikan dan pemulihan cerun akibat tanah runtuh seperti di Jalan Tambunan dan Jalan Keningau–Kimanis.

Masidi menegaskan bahawa peruntukan besar ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu asas rakyat secara tuntas dan memastikan pembangunan negeri berjalan lebih tersusun serta berkesan.

Exit mobile version