KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bakal dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti penumpang daripada 9 juta kepada 12 juta orang setahun, menurut pengumuman Menteri Kewangan merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Beliau berkata, usaha menaik taraf KKIA itu merupakan sebahagian daripada agenda memperkukuh infrastruktur pelancongan negeri, seiring pertambahan jumlah pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Lapangan Terbang Tawau turut menerima perhatian dengan peningkatan kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta setahun,” katanya.
Jelasnya lagi, pelaburan menaik taraf lapangan terbang ini dijangka meningkatkan keselesaan, kecekapan dan kemodenan kemudahan penerbangan, sekali gus melonjakkan lagi sektor pelancongan yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Sabah kini dihubungkan secara terus dengan 14 destinasi antarabangsa melalui 117 penerbangan, selain 447 penerbangan domestik setiap minggu,” katanya.
Sementara itu, ekonomi Sabah dijangka terus berkembang sederhana dengan KDNK negeri diunjur berkembang sekitar 2.0 peratus pada 2026, disokong pertumbuhan berterusan dalam Sektor Perkhidmatan, khususnya pelancongan dan kesihatan.
Pembukaan Hospital Pakar Universiti Malaysia Sabah pada Januari 2026 dijangka memperkukuh lagi sektor berkenaan dan meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelancongan perubatan.
Masidi turut menjelaskan bahawa Sektor Pembinaan akan kekal berkembang stabil dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B sepanjang 388 kilometer, yang bakal meningkatkan keterhubungan dan kecekapan logistik negeri.
Selain itu, Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sedang rancak dilaksanakan untuk meningkatkan kapasiti pengendalian kargo daripada 0.5 juta TEU kepada 1.25 juta TEU.
Keseluruhannya, beliau berkata, pelaksanaan projek-projek ini dijangka merancakkan pelaburan, meningkatkan daya tahan ekonomi serta membawa pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif kepada Sabah.

