KOTA KINABALU: Penjawat awam Sabah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM2,000, menurut pembentangan Belanjawan Negeri 2026 oleh Menteri Kewangan merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Seramai 18,853 penjawat awam termasuk yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian akan menerima bantuan tersebut dengan implikasi kewangan dianggarkan RM52.6 juta.
Bayaran dilakukan dalam dua fasa, iaitu pada Februari sebelum Aidilfitri dan sebelum Pesta Kaamatan 2026. Pesara Kerajaan Sabah turut diberi RM1,000 yang akan dibayar tahun depan.
Masidi berkata perkhidmatan awam merupakan nadi pentadbiran kerajaan dan perlu kekal cekap serta berkesan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Bagi memperkukuh modal insan perkhidmatan awam, kerajaan memperuntukkan RM7.6 juta untuk pembelajaran berterusan penjawat awam, bertujuan melahirkan pegawai berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta berupaya memimpin pada masa hadapan.
Selain itu, sebanyak RM16.85 juta turut diagihkan kepada semua agensi kerajaan negeri di bawah pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam kekal terlatih dan dilengkapi kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran semasa.
Belanjawan 2026 sekali lagi menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan dan pengukuhan profesionalisme penjawat awam sebagai tunjang pentadbiran Sabah.

