KOTA KINABALU: Semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun di Sabah diwajibkan menghantar laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan terus kepada Ketua Menteri bermula tahun depan, sebagai langkah memastikan pemantauan lebih ketat dan teratur.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan Kerajaan Negeri menerima maklumat tepat pada masanya berhubung kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan dan pencapaian setiap entiti.
Beliau menegaskan kegagalan mengemukakan laporan, tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau prestasi yang tidak memuaskan akan menyebabkan kedudukan CEO, GGM dan GM disemak, termasuk kemungkinan ditukar atau ditamatkan perkhidmatan.
Hajiji turut menggesa semua pihak menetapkan KPI yang jelas dan terukur selaras dengan mandat organisasi masing-masing.
“Semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi piawaian tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, ketelusan pelaksanaan dan akauntabiliti kepada rakyat,” tegasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri di sini, hari ini.
Walaupun mengakui GLC dan badan berkanun mempunyai objektif berbeza, ada yang berorientasikan keuntungan dan ada berorientasikan perkhidmatan sosial, beliau menekankan bahawa semua entiti tetap bertanggungjawab menunjukkan komitmen, kecekapan dan integriti yang tinggi.
“Setiap CEO, GGM dan GM mesti menyumbang secara bertanggungjawab, seperti yang diharapkan oleh rakyat dan kerajaan, bagi membantu memajukan Sabah.
“Dengan pemantauan yang lebih teratur dan pengurusan lebih bertanggungjawab, agenda Sabah Maju Jaya 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.

