Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPR Sahkan kekosongam luar jangka di Parlimen Kinabatangan dan DU Lamag, Mesyuarat Khas 16 Disember

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2025 — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan (DU) N.58 Lamag di Sabah, susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi berkenaan, Allahyarham YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril bin Idrus, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul pada 8 Disember 2025, serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim bin Haji M. Yahya pada 9 Disember 2025.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan oleh SPR,” katanya dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 (Selasa) yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun.

Mesyuarat tersebut dijangka membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kinabatangan dan DU Lamag, termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, serta daftar pemilih yang akan digunakan.

Selain itu, persiapan-persiapan lain bagi pelaksanaan PRK tersebut turut akan ditetapkan dalam mesyuarat berkenaan. SPR turut memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas selesai.

Allahyarham Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Lamag, menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2025, sekali gus menyebabkan dua kekosongan luar jangka perlu diisi mengikut peraturan perundangan sedia ada.

Exit mobile version