Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mahkamah Beijing arah Malaysia Airlines bayar pampasan kepada keluarga penumpang MH370

BEIJING: Sebuah mahkamah di Beijing mengarahkan Malaysia Airlines membayar pampasan kepada keluarga lapan penumpang pesawat MH370, lebih 10 tahun selepas pesawat itu dilaporkan hilang pada 2014.

Perintah tersebut dikeluarkan Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang pada Isnin, yang memaklumkan bahawa pampasan itu merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan pelbagai kerugian lain. Setiap keluarga berhak menerima lebih 2.9 juta yuan (kira-kira RM2 juta).

Dalam kenyataan itu, mahkamah turut memaklumkan bahawa 47 daripada 78 tuntutan asal telah ditarik balik selepas keluarga terbabit mencapai penyelesaian di luar mahkamah.

Bagaimanapun, 23 kes masih belum diselesaikan kerana waris mangsa belum memohon atau melengkapkan proses pengisytiharan kematian. Lapan penumpang yang keluarganya menerima pampasan telah diisytiharkan meninggal dunia secara sah.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas kerajaan Malaysia menyatakan kesediaan menyambung semula pencarian pesawat MH370 pada akhir Disember ini, langkah yang disambut baik oleh Kementerian Luar China dan keluarga mangsa.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Walaupun operasi pencarian besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, pesawat berkenaan masih belum ditemui sehingga kini.

Dua pertiga daripada penumpang MH370 merupakan warga China, manakala selebihnya ialah rakyat Malaysia, Indonesia, Australia, India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis. – AFP

Exit mobile version