TAWAU: Golongan belia di Sabah kini mempunyai peluang lebih luas untuk mengembangkan bakat serta menjana pendapatan melalui pelbagai program di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementerian yang sebelum ini memfokuskan kepada pembangunan belia dan sukan kini turut memperluas tumpuan kepada sektor ekonomi kreatif sebagai pemangkin masa depan belia.
“Kerajaan memberi kepercayaan kepada kementerian ini untuk meneroka potensi belia dalam pelbagai cabang kreatif seperti seni, reka bentuk, muzik, lukisan dan banyak lagi.
“Tujuan utama adalah menjadikan mereka bukan sahaja berbakat, tetapi turut berdaya saing serta mampu menjana pendapatan sendiri berasaskan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan kepada 23 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Balung, semalam.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menegaskan bahawa kementerian sentiasa mengutamakan penglibatan aktif golongan muda kerana mereka merupakan pewaris yang bakal mencorakkan masa hadapan negara.
Menurut beliau, pelaksanaan program-program berasaskan ekonomi kreatif dan digital bukan sahaja membantu belia memahami jati diri dan potensi diri, malah memberi ruang kepada mereka menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan negara.
“Engagement dengan belia sangat penting. Kita mahu mereka faham siapa mereka, potensi diri yang ada, dan bagaimana mereka boleh menjadi penyumbang pembangunan negeri.
“Dengan menekankan ekonomi kreatif dan digital, kita menyediakan peluang untuk mereka mengembangkan kemahiran ke peringkat lebih tinggi serta menjadikannya sumber pendapatan,” katanya.
Dalam memastikan keberkesanan program, Nizam berkata setiap inisiatif kementerian dilaksanakan dengan testimoni, penilaian prestasi (KPI) dan pemantauan pencapaian bagi memastikan dana kerajaan digunakan dengan efektif serta memberi impak positif kepada belia, masyarakat dan negara.
“Ini bukan hanya tentang seni atau sukan semata-mata. Kita mahu transformasi belia melalui keusahawanan, ekonomi kreatif dan digital. Melalui usaha ini, belia boleh berdikari, memperoleh kemahiran yang diiktiraf serta berpotensi diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Jelas Nizam lagi, pendekatan holistik pembangunan belia dan komuniti ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkasa kemahiran generasi muda Sabah.

