KOTA KINABALU: Sektor pelancongan Sabah terus mencatat pertumbuhan positif apabila menerima seramai 2,826,390 pelawat bagi tempoh Januari hingga September 2025, menunjukkan peningkatan 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin berkata, daripada jumlah itu 1,162,459 merupakan pelancong antarabangsa dengan peningkatan 17.2 peratus, manakala 1,663,931 lagi merupakan pelancong domestik yang meningkat 16.8 peratus.
“Peningkatan ini membuktikan keyakinan pelancong terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan yang kaya dengan keindahan alam serta kepelbagaian budaya. Jumlah pelancong tersebut dianggarkan menjana sehingga RM6.58 bilion kepada industri pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd Sainal, pada Majlis Perasmian Malam Lestari ‘Irama dan Alam’ Rhythm of Kinabalu (ROK) 2025, di sini, Sabtu.
Festival budaya rangsang ekonomi dan promosi pelancongan
Jafry berkata, penganjuran festival pelancongan dan kebudayaan seperti Rhythm of Kinabalu memainkan peranan penting dalam merancakkan industri pelancongan Sabah serta menyokong strategi promosi kerajaan negeri.
“Program pelancongan budaya perlu dianjurkan secara aktif dan berkala. Ia membantu meningkatkan ekonomi artis tempatan, usahawan seni budaya, pengusaha kraf, peniaga makanan dan minuman, di samping mempromosikan keunikan negeri Sabah,” jelasnya.
Seruan untuk sokongan padu industri pelancongan
Mengakui industri pelancongan sebagai sektor penting yang menyumbang kepada ekonomi negeri, beliau menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama memastikan Sabah kekal sebagai destinasi berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program Rhythm of Kinabalu (ROK) 2025 berlangsung selama empat hari bermula Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai; Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar serta Pengarah JKKN Sabah, Marina Abu Bakar.

