KOTA KINABALU: Seorang waris yang dikenali sebagai Ida Chang II melalui laman Facebooknya, mendedahkan bahawa mendiang bapanya telah didaftarkan sebagai ahli Parti Warisan tanpa sebarang persetujuan atau pengetahuan keluarga.
Dalam kenyataannya pada Jumaat lalu, Ida Chang II berkata, beliau menemui nama bapanya dalam pautan viral senarai ahli parti dan segera menyemak kebenarannya.
“Ternyata benar seperti yang dicek melalui pautan yang viral. Jadi saya minta nama bapa saya dihapuskan sebab dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa individu yang mencadangkan pendaftaran tersebut bukan orang kampung dan tidak dikenali oleh keluarga.
“Saya tidak kenal langsung nama orang tersebut. Tapi biarlah, saya tidak mahu panjang cerita,” tambahnya.
Ida Chang II memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati kerana tindakan mendaftarkan seseorang sebagai ahli parti tanpa izin boleh menimbulkan salah faham.
Menurut beliau, bapanya tidak pernah memohon untuk menjadi ahli Warisan semasa hayatnya.

