Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemandu maut tersepit, lori balak terbabas di Tawau

TAWAU: Seorang pemandu lori treler membawa muatan kayu balak maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelum Maliau Basin, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 10.03 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 133 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak, setibanya di lokasi, pasukan mendapati mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan bertindak menggunakan peralatan khas (Rescue Tool) untuk mengeluarkan mangsa yang didapati sudah tidak bernyawa.

“Kematian mangsa disahkan oleh petugas KKM di lokasi kejadian dan mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi turut dibantu oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.19 tengah hari setelah keadaan kawasan kemalangan disahkan selamat.

Exit mobile version