Site icon TUHAU BAMBANGAN

STARSABAH tegaskan kekal sebagai pembangkang

KOTA KINABALU:Parti STARSABAH menegaskan pendirian parti itu untuk kekal sebagai pembangkang di Sabah, meskipun pembentukan kerajaan negeri baharu telah dimuktamadkan.

Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, parti itu tidak akan menyertai kerajaan GRS kerana komitmen mereka terhadap prinsip pentadbiran oleh parti-parti tempatan Sabah.

Menurut Jeffrey, pendirian STARSABAH tidak pernah berubah sejak awal bahawa Sabah mesti ditadbir oleh parti yang berasaskan negeri ini dan bukan gabungan yang bergantung kepada pengaruh politik dari Semenanjung.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelantikan Datuk Mohd Ishak Ayub sebagai Pembantu Menteri adalah lantikan terus oleh Ketua Menteri dan bukan jawatan yang dirundingkan oleh parti.

Katanya, STARSABAH menghormati keputusan ADUN Bingkor itu, namun ia tidak mengubah dasar dan pendirian parti.

Jeffrey menegaskan STARSABAH akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, menyokong dasar-dasar yang memanfaatkan Sabah dan menentang apa jua langkah yang menjejaskan hak negeri di bawah MA63, Perlembagaan Persekutuan serta perjuangan autonomi Sabah.

“Apa-apa yang kurang daripada kerajaan yang dipimpin sepenuhnya oleh parti-parti tempatan Sabah akan melemahkan kuasa tawar-menawar dan masa depan negeri,” katanya.

Exit mobile version