KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin barisan kabinet baharu yang dibentuk mampu memacu pembangunan Sabah dengan lebih teratur, stabil dan berpandangan jauh, selaras dengan aspirasi rakyat serta hala tuju pembangunan negeri.
Beliau berkata setiap menteri yang dilantik mempunyai pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan yang meyakinkan untuk memimpin kementerian masing-masing ke arah pencapaian lebih cemerlang, sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Hajij menyeru agar semua anggota kabinet menggalas tanggungjawab besar ini dengan penuh dedikasi, integriti dan kesungguhan, selain memastikan setiap dasar dan program pembangunan negeri dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh.
Katanya, setiap menteri perlu berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang serta memastikan amanah yang diberikan ditunaikan sepenuhnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Sri Gaya petang ini selepas upacara angkat sumpah Jemaah Menteri Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Teks kenyataan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Menurut Hajiji, majlis itu membawa makna besar kerana memperkukuh komitmen kerajaan negeri untuk terus memberikan khidmat terbaik demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.
Senarai penuh Jemaah Menteri Sabah (Kabinet baharu):
Ketua Menteri:YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (GRS)
Timbalan Ketua Menteri (TKM):TKM I: Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (GRS)
TKM II: Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS)
TKM III: Datuk Ewon Benedick (UPKO)
Kementerian:
Menteri Kerja Raya & Utiliti: Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (GRS)
Menteri Kewangan: Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS)
Menteri Perindustrian, Keusahawanan & Pengangkutan: Datuk Ewon Benedick (UPKO)
Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan: Datuk Arifin Arif (GRS)
Menteri Pertanian, Perikanan & Industri Makanan: Datuk Jamawi Jaafar (PH)
Menteri Pembangunan Luar Bandar: Datuk Rubin Balang (GRS)
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi & Inovasi: Datuk James Ratib (GRS)
Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar: Datuk Jafry Ariffin (BN)
Menteri Wanita, Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat: Datuk Julita Mojungki (GRS)
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan & Ekonomi Kreatif: Datuk Nizam Titingan (GRS).

