TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, Tuaran.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) tiba di pusat pengundian itu sekitar jam 11.30 pagi ditemani isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Suasana di perkarangan sekolah kelihatan tenang dengan proses pengundian berjalan lancar.
Ketika ditemui pemberita, Hajiji memaklumkan beliau menerima laporan awal bahawa perjalanan pengundian di seluruh negeri berlangsung dengan aman dan teratur meskipun menyaksikan ramai calon bertanding pada kali ini.
“Saya berharap rakyat akan keluar mengundi menunaikan tanggungjawab mereka. Proses pengundian berlangsung dengan baik dan harmoni. Namun, saya menyeru agar pengundi keluar awal kerana kita bimbang hujan pada sebelah petang,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, Hajiji mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Beliau berdepan pertandingan lima penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin; Moktar Hussin (Parti Warisan); Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah); dan Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional).

