PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis methamphetamine (syabu) bernilai kira-kira RM17,000.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan dalam satu serbuan berkaitan kes dadah di daerah ini pada Isnin (24 Nov) kira-kira jam 12.00 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemukan tujuh paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 552.60 gram.
“Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Supt. Sammy turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah atau dadah di kawasan mereka.

