KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempamerkan demonstrasi penggunaan BioAsphalt, teknologi aspal sejuk generasi baharu yang didakwa mampu menampal jalan berlubang dengan lebih cepat, mudah dan kos rendah, sekali gus menawarkan penyelesaian segera terhadap isu jalan rosak yang semakin meruncing di Sabah.
Dalam demonstrasi yang diadakan di Golden Plaza baru-baru ini, Shafie sendiri menunjukkan cara BioAsphalt diaktifkan hanya dengan air, menggunakan peralatan asas, sebelum jalan yang ditampal boleh dilalui kenderaan dalam beberapa minit.
Menurut beliau, teknologi ini merupakan alternatif praktikal tanpa perlu menunggu proses perolehan panjang atau jentera berat.
Shafie berkata, Warisan telah menilai beberapa kaedah dalam tempoh enam bulan lalu dan mendapati BioAsphalt sebagai pilihan paling berpatutan serta berpotensi memberikan kelegaan segera kepada pengguna jalan raya.
Beliau turut menekankan bahawa BioAsphalt boleh dihasilkan di Sabah melalui penukaran biomass kelapa sawit dan sisa organik lain kepada biochar, bahan negatif karbon yang menjadi asas campuran tersebut.
Produk yang dibekalkan dalam beg 20 kilogram itu tidak memerlukan haba, bebas pelarut dan tidak berbau, menjadikannya lebih selamat untuk pekerja serta sesuai digunakan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Teknologi itu juga disokong penyelidikan bertahun-tahun bersama National Center for Asphalt Technology (NCAT) di Auburn, Amerika Syarikat.
Demonstrasi berkenaan turut disaksikan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Naib Presiden, Terrence Siambun.
Shafie menyatakan teknologi itu bersedia dilaksanakan di seluruh negeri sekiranya Warisan diberi mandat, sambil menyifatkan BioAsphalt berpotensi membuka laluan kepada penyelenggaraan jalan lebih selamat dan industri hijau berorientasikan iklim di Sabah.
Sumber: Kosmo Online

