KUNAK: Seorang lelaki dewasa maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max terbabas ke dalam jurang sedalam enam meter di Jalan KunakâTawau pada awal pagi Isnin lalu.
Menurut laporan Komander Operasi, PBK I Rosman Gari, Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi sebelum satu jentera FRT dan sebuah unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digerakkan ke lokasi sejauh 21 kilometer.
Pasukan tiba pada jam 4.38 pagi.Khidmat kecemasan mendapati empat mangsa terlibat dalam insiden tersebut.
Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Tiga lagi mangsa termasuk lelaki berusia 39 tahun (warganegara Indonesia), 35 tahun dan 28 tahun mengalami kecederaan semi kritikal.
Mereka diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Kunak dan Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS Bomba serta ambulans KKM.
Operasi melibatkan enam anggota BBP Kunak diketuai PBK I Rosman Gari dengan kerjasama PDRM dan KKM.
Setelah memastikan kawasan kejadian selamat, operasi ditamatkan pada jam 6.55 pagi.

