KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa manifesto GRS bagi PRU DUN Sabah 2025 dirangka secara realistik, berasaskan kemampuan sebenar kerajaan, dan bukan sekadar janji manis bulan dan bintang seperti yang sering dimainkan parti lawan.
Katanya, setiap komitmen GRS disusun agar benar-benar mampu dilaksana, diukur dan dirasai rakyat sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran.
Armizan menjelaskan bahawa Manifesto GRS dibina atas tiga asas utama: kesinambungan pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sejak 2021 hingga 2025; keazaman untuk meneruskan momentum pembangunan lima tahun terdahulu; dan penilaian jujur terhadap kapasiti kewangan kerajaan negeri.
Kerangka manifesto berteraskan 1 Gagasan, 4 Rukun dan 16 Strategi di bawah Rukun ke-4, Sabah United (Sabah Bersatu), yang menekankan perpaduan rakyat sebagai asas pembangunan.
Beliau menegaskan pendekatan GRS berbeza dengan parti-parti lain yang menawarkan pelbagai slogan dan janji tidak realistik, hanya untuk meraih sokongan semasa kempen.
“Manifesto bukan untuk sedap didengar. Ia adalah aku janji pertanggungjawaban. Jika terus menjual retorik bulan dan bintang, rakyat akan dikecewakan dan keyakinan kepada kerajaan serta demokrasi akan terhakis,” katanya.
Menurutnya, prinsip utama GRS ialah memastikan setiap dasar dan program yang dibentang benar-benar boleh dilaksanakan berdasarkan fakta, keupayaan dan rekod pencapaian, bukan sekadar fantasi politik.
Tema manifesto GRS tahun ini, “Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan”, menggambarkan kesediaan gabungan itu membawa Sabah ke tahap pembangunan lebih dinamik dan inklusif.
Armizan menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa rakyat berhak menerima tawaran yang jujur, boleh dicapai dan memberi impak nyata, bukan sekadar janji kosong yang hanya hidup di atas pentas ceramah.
“GRS memilih realiti, kerja dan pertanggungjawaban, bukan politik janji manis,” ujarnya.

