Site icon TUHAU BAMBANGAN

1 maut, 1 cedera, single cab dinaiki terbabas sendiri di Keningau

KENINGAU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kenderaan jenis Toyota single cab terbabas sendiri di Jalan Bakiau Bypass, Keningau petang kelmarin.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.00 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi. Pasukan tiba enam minit kemudian.

Kemalangan itu melibatkan dua mangsa, di mana seorang lelaki berusia 27 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan.

Mangsa diberi rawatan awal oleh unit EMRS Bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

Seorang lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan dikeluarkan menggunakan stretcher namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi diketuai PBK I Norhasrita Abdul Manan melibatkan sembilan anggota dengan bantuan PDRM dan KKM.

Selepas memastikan kawasan selamat dan tiada bahaya susulan, operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

JBPM mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati terutamanya di laluan berisiko.

Exit mobile version