Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU Sabah: “Bukan pilih yang lantang, tapi cari yang konsisten bekerja” – Razali

KOTA KINABALU: “Pilihan raya kali ini bukan tentang memilih siapa paling lantang di pentas, tetapi siapa yang benar-benar bekerja, turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat,” tegas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob, dalam ucapannya pada Program Perjumpaan Keluarga Khairul Fahmi Gulam Rasul, malam Sabtu.

Menurut Razali, rakyat Darau dan Kampung Likas memerlukan budaya politik baharu berteraskan keikhlasan, amanah dan penyelesaian masalah, bukan politik kebencian atau permainan sentimen.

Beliau menegaskan bahawa rakyat sudah terlalu lama berhadapan dengan pemimpin yang hanya muncul setiap lima tahun, bergema dengan pidato lantang tetapi gagal membawa hasil.

“Tidak perlu pemimpin teriak sana sini tetapi hasilnya kosong. Yang penting adalah pemimpin yang rajin turun padang, dengar masalah dan cari penyelesaian,” katanya.

Razali yang juga Setiausaha Eksekutif GRS turut mendedahkan bahawa usaha turun padang dan menyelesaikan isu rakyat bukan retorik menjelang pilihan raya, sebaliknya kerja yang sudah dilakukan sejak lebih dua tahun lalu.

Antara inisiatif yang dikongsi ialah pemasangan sistem CCTV pertama di Kampung Likas, projek keselamatan yang dilaksanakan atas permintaan penduduk bagi mengurangkan kebergantungan kepada rondaan sukarela pada waktu malam.

Beliau menekankan bahawa seorang wakil rakyat bukan sekadar memegang gelaran, tetapi berperanan sebagai jambatan antara masyarakat dan kerajaan.

“Saya bukan datang untuk menjadi Yang Berhormat. Saya datang untuk menjadi jambatan kamu di Kampung Likas, menjadi mulut kamu untuk mencari penyelesaian,” ujarnya.

Razali turut memberi peringatan bahawa sekiranya kerajaan bertukar, pelbagai dasar pembangunan dan projek yang dirancang GRS berisiko terbantut atau dibatalkan, sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan pembangunan di Darau dan seluruh Sabah.

Sebagai anak jati Kampung Likas, beliau merayu agar pengundi memilih berdasarkan rekod kerja, prestasi dan keupayaan, bukan berasaskan sentimen suku kaum, agama atau emosi.

“Kita pilih bukan kerana suku, bukan kerana agama, bukan kerana sentimen. Pilihlah berdasarkan prestasi, kerja, dan kemampuan membawa perancangan,” tegasnya.

Mengakhiri ucapannya, Razali berharap pertemuan tersebut membuka hati pengundi Kampung Likas dan Darau untuk memberi ruang kepadanya berkhidmat.

“InsyaAllah, dengan izin Allah, nombor 6 pada 29 ini, itulah harapan kita untuk membawa perubahan,” katanya.

Exit mobile version